Wednesday 24 August 2011

Beliawanis PEMBINA Sarawak Santuni Muslimah Kolej Perubatan

24 Ogos 2011, Satok-  Beliawanis PEMBINA Sarawak berasa amat berbesar hati apabila dijemput untuk turut sama menjayakan aktiviti qiamullail bersama para pelajar perubatan UNIMAS, anjuran Unit Perwakilan dan Pengurusan Surau Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UNIMAS . Aktiviti ini telah diadakan pada 19 Ogos lalu, bertempat di surau fakulti berhampiran dengan kolej kediaman pelajar. 
 
Aktiviti dimulakan dengan bacaan surah Al-Mulk secara beramai-ramai. Setelah itu, tazkirah pendek tentang adab-adab sebelum tidur disampaikan kepada para peserta. Antara adab yang dikongsikan adalah membaca doa dan mengambil wudu sebelum tidur. Peserta juga dianjurkan untuk tidur mengiring sebelah kanan, sesuai dengan sunnah Rasulullah. Adab-adab ini walaupun tampak ringan dan kecil, ianya masih mampu untuk meraih redha Allah jika diamalkan secara istiqamah dan dengan niat yang ikhlas. 

Pada keesokan harinya, selepas solat subuh dan bacaan ma’tsurat, perkongsian tazkirah bertajuk ‘Malam Seribu Bulan’ dibentangkan kepada para peserta. Tazkirah tersebut dimulai dengan imbasan seerah tentang malam lailatul qadr pertama yang dialami Nabi Muhammad saw. Peserta kemudiannya diceritakan tentang kelebihan malam lailatul qadr berdasarkan dari seerah tersebut sekaligus ciri-ciri individu mukmin yang layak mendapat mendapat malam lailatul qadr. Antara ciri tersebut adalah mukmin yang tidak melakukan maksiat, istiqamah dalam beramal dan mempunyai hati yang bersih suci. Tazkirah tersebut diharapkan membangkitkan lagi semangat peserta untuk mencari malam lailatul qadr pada bulan-bulan Ramadhan yang masih berbaki ini. 

Beliawanis PEMBINA Sarawak mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa surau atas anjuran aktiviti yang sangat bermanfaat ini. Semoga aktiviti seperti ini dapat dijalankan lagi pada Ramadhan yang akan datang.

“Carilah lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan.” – 
Hadis riwayat al-Bukhari

Program Qiyamullail di Kolej Perubatan sempena Penganjuran Fiesta Ibadah 2 oleh  Unit Perwakilan dan Pengurusan Kolej Perubatan UNIMAS.
Media PEMBINA
Cawangan Sarawak

Tuesday 23 August 2011

Seminar Sejarah di KSKB Kuching

14 Ogos 2011, Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Kuching – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dengan kerjasama Persatuan Pelatih Islam KSKB dan Majlis Perwakilan Pelatih KSKB baru-baru ini telah mengadakan seminar ‘Adakah Kau Lupa’. Seramai 51 orang pelatih telah menyertai seminar tentang sejarah yang telah berlansung selama sehari ini. Turut hadir sebagai peserta termasuklah beberapa pengajar jururawat dari Kolej Jururawat Serian.

Seminar ini bertujuan mengajak para peserta untuk menyelami hakikat sejarah Islam bermula dari bertapaknya dakwah Rasulullah di bumi Mekah sehinggalah kejatuhan khalifah yang terakhir. Bertemakan ‘Merungkai Sejarah, Mengorak Langkah’, tiga siri pengisian telah disampaikan oleh penceramah jemputan daripada Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Sarawak dan PEMBINA Cawangan Sarawak.

Slot pertama “Adakah kau Lupa?” yang berkisar tentang kepentingan untuk memahami sejarah dengan hati dan hakikat penciptaan manusia telah disampaikan oleh Saudara Abdul Hafidz bin Yusoff, Naib Yang di-Pertua ISMA Cawangan Sarawak. Slot yang kedua pula, para pelatih diajak menyoroti lembaran-lembaran sejarah dalam “Fahami Sejarah Kita!” yang telah disampaikan oleh setiausaha PEMBINA Cawangan Sarawak yang juga merupakan pelajar tahun akhir kursus kejururawatan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Saudara Mohammed Rasheedan bin Ellin. Pada sebelah petangnya pula, para peserta diberikan ruang untuk berfikir tentang peranan seseorang Muslim dalam membawa agenda agama Islam dalam slot pengisian terakhir “Merungkai Sejarah, Mengorak Langkah!” oleh Biro Kemahiran dan Pembangunan Potensi, Saudara Muhamad Danial bin Salim yang juga merupakan Pelajar Perubatan tahun keempat di UNIMAS.



Peserta Muslimat dalam AKALRace




Fahami sejarah dengan hati
Menurut salah seorang peserta, beliau melahirkan rasa kagum apabila dapat mengetahui yang Islam pada suatu ketika dahulu merupakan sebuah kuasa pemerintahan yang kuat, bukan sahaja berkuasa dari segi penaklukan dan ketenteraan malah dari segi penguasaan ekonomi dan bidang keilmuan.
PEMBINA Cawangan Sarawak amat berbesar hati atas jemputan daripada AJK Pelaksana dan berharap program bermanfaat seperti ini dapat diteruskan untuk memberikan kefahaman dan kesedaran kepada belia Islam tentang sejarah Islam.

Bersama Fasilitator dari Pelajar Perubatan UNIMAS

Penerangan untuk slot LDK

Peserta muslimin dalam AKALRace
"Merungkai Sejarah, Mengorak Langkah!"

Media PEMBINA
Cawangan Sarawak

Tuesday 2 August 2011

PEMBINA Sarawak Terima Kunjungan Presiden PEMBINA

Kota Samarahan, 31 Julai 2011- PEMBINA Sarawak telah menerima kunjungan Saudara Norzafry Norhalim, Presiden PEMBINA Malaysia bertempat di Pejabat ISMA Sarawak.


Majlis Kunjungan ini dipengerusikan oleh Saudara Muhamad Danial Salim yang merupakan Bendahari PEMBINA Sarawak. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan dari Pengerusi PEMBINA Sarawak, Saudara Muhamad Abdul Munaim Idrus. Dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa penghargaan kepada Saudara Zafry kerana sudi meluangkan masa melawat PEMBINA Cawangan Sarawak. Kunjungan ini merupakan kunjungan pertama yang diterima dari PEMBINA Pusat.

Selepas itu, montaj PEMBINA Sarawak ditayangkan, menunjukkan aktiviti-aktiviti PEMBINA Sarawak sepanjang tahun 2011. Majlis diteruskan dengan sesi perkenalan antara Presiden PEMBINA dengan Jawatankuasa PEMBINA Cawangan Sarawak.

Setelah itu, majlis diteruskan dengan taklimat dan penerangan oleh Saudara Zafry berhubung PEMBINA Pusat sepanjang penubuhannya sejak 2007. Dalam taklimatnya, Saudara Zafry turut menekankan tentang aspek-aspek positif yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin iaitu disiplin, professional dan mempunyai daya juang yang tinggi. Antara lain, beliau mengingatkan JKC supaya sentiasa bergerak berlandaskan objektif yang telah ditetapkan. Taklimat beliau diakhiri dengan penerangan berkaitan dengan Key Performance Index (KPI) yang telah digariskan oleh PEMBINA Pusat untuk difahami dan seterusnya dilaksanakan oleh setiap PEMBINA Cawangan.

JKC PEMBINA Sarawak mengucapkan ribuaan terima kasih buat Saudara Zafry atas kunjungan beliau. Semoga dengan kunjungan ini, JKC dapat menggalas tanggungjawab yang diberikan dengan baik, sekaligus dapat menjayakan visi dan misi PEMBINA.


Popular Posts