Tarbiah


Antara takdir, ikhtiar dan kudrat.
Beriman kepada qada’ dan qadar Allah s.w.t. adalah satu tuntutan ke atas setiap muslim yang beriman. Qada’ adalah pelaksanaan kepada ketetapan Allah s.w.t. ke atas makhlukNya di dunia ini, manakala  qadar pula ialah takdir atau ketentuan Allah s.w.t. dengan meletakkan sesuatu  pada tempatnya yang munasabah (al-Syafei 2003; Abdul Fatah Haron  2003; Muhamad al-Ghazali 1997), satu sistem, undang-undang dan garis panduan yang mengikat antara sebab dan musabab yang ditetapkan Allah s.w.t. kepada makhlukNya (Sayid Sabiq 2005).  Semua peristiwa sama ada baik dan buruk adalah takdir Allah s.w.t.  Namun begitu, seorang muslim diharuskan menolak takdir buruk dengan takdir baik. Di mana kufur itu dihilangkan dengan iman, bid’ah dihilangkan dengan sunnah, maksiat dengan ketaatan, penyakit dengan ubat, kebodohan dengan pengetahuan, kekalahan dengan jihad, kemiskinan dengan bekerja dan begitulah seterusnya (Abdul Qadir Jailani 1980).
Dalam hal ini, apa yang berlaku pada manusia itu, adalah takdir yang ditentukan Allah s.w.t. ke atasnya, selagi manusia belum menghadapi peristiwa tersebut, mereka masih boleh mengubah nasib hidup mereka sebagaimana pendapat Syeikh Abdul Qadir Jailani yang mengatakan manusia boleh menolak kesakitan dengan memakan ubat, penderitaan dengan kegembiraan, kekalahan dengan usaha dan perjuangan. Apabila telah berlaku ketentuan tersebut, manusia tidak boleh melarikan diri daripada berhadapan dengan takdir Allah s.w.t. sama ada dalam keadaan suka atau tidak suka. Allah s.w.t. menunjukkan kekuasanNya ke atas makhlukNya dengan meletakkan seluruh sistem kehidupan manusia terletak dalam ilmu pengetahuanNya, begitu juga seluruh ketentuan dan nasib yang berlaku pada manusia adalah dalam ilmuNya.
Bagi memahami konsep qada’ dan qadar Allah s.w.t.  Imam al-Syafei (2003) telah menggariskan ketentuan atau qadar Allah s.w.t. itu perlu dilihat dalam empat aspek. Kempat-empat aspek tersebut ialah ilmu Allah s.w.t. ke atas segala sesuatu sama ada tentang masa lalu, masa sekarang dan masa akan datang. Allah s.w.t. Maha Mengetahui apa yang terjadi sama ada dalam keadaan terang atau dalam keadaan gelap, di mana tidak ada yang dapat bersembunyi daripada pengetahuan Allah s.w.t. Aspek  kedua dalam konsep qadar Allah s.w.t. ialah suratan yang telah termaktub di Luf Mahfuz segala apa berlaku ke atas makhlukNya sehinggalah hari kiamat.
Segala peristiwa dan kejadian yang berlaku ke atas makhlukNya sama ada kecil atau besar, mudah atau senang semuanya telah tertulis di Luh Mahfuz sejak azali lagi. Manusia tidak boleh menolak ketentuan yang telah tertulis ke atas mereka, kerana semuanya dalam pengetahuan Allah s.w.t. Aspek ketiga dalam qadar Allah s.w.t. ialah berkenaan dengan kehendak Allah s.w.t. (masyi’ah). Tidak ada sesuatu yang berlaku di alam ini melainkan atas kehendak Allah s.w.t. Sekiranya Allah s.w.t. menghendaki sesuatu itu berlaku, ia akan berlaku dan sekiranya Allah s.w.t. tidak mengizinkan berlakunya sesuatu, ia tidak akan berlaku. Tiada kuasa yang boleh menghalang kehendak Allah s.w.t. Aspek keempat yang melengkapkan qadar Allah s.w.t. ialah kuasa Allah s.w.t. mencipta dan memiliki semua yang ada di alam ini tanpa terkecuali walau satu zarah. Semua makhluk  adalah kepunyaan Allah s.w.t. daripada seluruh makhluk di langit dan di bumi adalah tunduk di bawah kuasa Allah s.w.t.
Martabat qadar Allah s.w.t. yang dikemukakan oleh Imam al-Syafei menunjukkan kekuasaan Allah s.w.t. secara menyeluruh ke atas makhlukNya, bermula dengan ilmuNya kepada perbuatan hambaNya, suratan takdir yang tertulis di Luh Mahfuz, kehendak Allah atas segala sesuatu dan kepunyaan Allah segala yang di langit dan di bumi. Walau bagaimanapun, Allah s.w.t. telah mengurniakan kepada hambaNya ikhtiar dan iradat untuk melaksanakan sesuatu atau meninggalkan sesuatu perbuatan itu. Dalam hal ini, Abdul Qadir (1968) berpendapat, manusia perlu melihat takdir Allah s.w.t. secara menyeluruh. Kebanyakan manusia menyangka apabila melihat keburukan ialah mereka wajib menerimanya dan tidak boleh menolaknya, sedangkan Allah s.w.t. mengurniakan kepada manusia kebaikan dan keburukan dalam kehidupan. Allah s.w.t. memberikan kepada hambaNya tiga pilihan, iaitu mengambil keburukan tersebut, berserah kepada keburukan tersebut dan mengambil kebaikan serta menolak keburukan.
Menurut Abdul Qadir (1980), setiap keadaan hidup sama ada bahagia mahupun derita dan sengsara memiliki batas waktu tertentu. Waktu itu tidak boleh didahulukan dan tidak juga diakhirkan. Oleh sebab itu, yang harus dilakukan oleh setiap manusia adalah memecahkan masalah kehidupan ini dengan cara-cara yang dibenarkan agama, sambil menunggu hilangnya masalah tersebut dan berganti dengan keadaan sebaliknya kerana tempohnya telah habis. Oleh sebab itulah, Abdul Qadir berpendapat, sesiapa yang mencari cahaya siang pada waktu senjakala, dia tidak akan berjaya memperolehnya, malahan kegelapan malam akan semakin bertambah sehingga habis waktunya dan terbitlah fajar diiringi dengan waktu siang. Seandainya manusia berdoa, malam dikembalikan setelah tiba waktu siang, doanya tidak akan diterima kerana dia meminta bukan pada masanya.
Ini menunjukkan manusia dikurniakan Allah s.w.t. dengan ikhtiar (kemampuan membuat pilihan) dan kudrat  (kuasa menerima dan menolak) bagi menghadapi takdir Allah s.w.t., di mana takdir Allah s.w.t. itu ada takdir baik dan ada takdir buruk. Manusia diberikan kudrat dan juga ikhtiar untuk membuat pilihan dan menerima serta menolak takdir tersebut dengan takdir yang lain. Oleh sebab itu, tidak ada alasan bagi yang melakukan maksiat untuk mengatakan bahawa semua kelakuannya adalah dengan takdir Tuhan kerana dia telah melakukannya dengan kehendak dan ikhtiarnya sendiri. Tiada sesiapa dalam kalangan manusia yang mengetahui qada’ dan qadar Allah s.w.t. ke atas seseorang melainkan setelah ianya berlaku (Abdul Fatah Haron 2003).
Beriman kepada qada’ dan qadar Allah s.w.t. mendorong seseorang untuk menerima ketentuan yang telah ditetapkan kepadanya dan sentiasa berusaha untuk mengubah kehidupannya kepada takdir yang lebih baik. Keadaan ini tidak bertentangan dengan kewajipan beriman kepada qadha’ baik dan buruk, kerana selagi sesuatu peristiwa itu belum berlaku ia bukanlah ketentuan yang ditentukan Allah s.w.t. Ketentuan itu dikatakan takdir Allah s.w.t. apabila terlaksananya peristiwa tersebut ke atas manusia (Al-Syafei 2003).
Ustazah Norsaleha Mohd Salleh,
Ketua Wanita ISMA
Blog: The Sweetness of a Partnership

Popular Posts