Monday 19 December 2011

PINDAHAN LAMAN WEB

Denga ini dimaklumkan bahawa PEMBINA Sarawak akan berpindah ke www.pembinasarawak.com

Sunday 18 December 2011

Saturday 19 November 2011

Kerana Cinta Perlukan Pengorbanan

UNIMAS, 4 November 2011 - Program Ceramah Korban ”Kerana Cinta Perlukan Pengorbanan” telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya melibatkan kerjasama antara Persatuan Belia Islam Nasional Sarawak (PEMBINA) dan Unit Pengurusan Surau Kolej Cempaka (SUCIE) UNIMAS. Program ini melibatkan penyertaan 30 orang muslimin dan 93 orang muslimat pelajar mahasiswa UNIMAS. 
Ceramah bermula sebaik sahaja para peserta selesai solat Maghrib berjemaah pada pukul 6.45 petang. Ustaz yang dijemput untuk mengendalikan ceramah kali ini adalah Ustaz Iskandar bin Abdullah yang bekerja di organisasi HIKMAH Sarawak.

Antara objektif program ini diadakan adalah memberikan kefahaman tentang hakikat pengorbanan melalui peneladanan seerah Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail, menerapkan nilai dan semangat berkorban untuk agama dalam konteks kehidupan seorang mahasiswa dan mengeratkan ukhuwah sesama muslimin dan muslimat bersempena hari kebesaran Islam.

Unit Media PEMBINA Sarawak

Rehlah Akhawat 2011

Kuching, 22 Oktober- Bertemakan Riadah Towards Ibadah,              baru-baru ini Isma cawangan Sarawak telah mengadakan satu program rehlah yang bertempat di Wisma Bapa Malaysia. Program tersebut bermula pada awal pagi iaitu 8.00 pagi dan berakhir pada pukul 2.00 petang. Program ini dihadiri oleh  66 orang peserta perempuan.
Program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada peserta-peserta untuk melihat dan menghayati keindahan alam ciptaan Allah. Selain itu juga, program ini merapatkan silaturahim  antara pelajar universiti di sekitar Samarahan dan juga Kuching
Program ini dimulai dengan sedikit tazkirah pendek daripada saudari Jamaliah dan seterusnya diteruskan dengan aktiviti Explore race yang dikendalikan oleh saudari Anati. Selepas itu,program diteruskan dengan  aktiviti utuh ukhwah yang melibatkan semua ahli kumpulan akhir sekali adalah aktiviti cuci mata. Program ini berakhir dengan  sesi evaluasi  dan makan tengah hari.
Unit Media Sarawak





Tuesday 25 October 2011

Gunakan segala kemudahan martabatkan Islam - Norzafry




SHAH ALAM 22 Oktober – Dengan pelbagai kemudahan dan teknologi terkini, belia mestilah menggunakan peluang yang sedia ada ini untuk memartabatkan Islam.
Jelas Norzafry Norhalim sebagai Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), setiap belia berpotensi untuk menggarap setiap prasarana yang ada seperti laman Facebook, Twitter, e-mail, SMS dan sebagainya untuk menyebarkan Islam.
Belia juga haruslah kreatif dan inovatif dalam menyampaikan mesej dan keindahan Islam disamping memperkasa pelbagai ilmu serta kemahiran teknologi, tambah beliau lagi dalam pidato di Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN).
Dalam pidato beliau yang sarat dengan mesej mengharapkan belia memartabatkan ketua atau pemimpin negara yang menjadikan Islam sebagai agenda utama.
Ini adalah penting dalam memastikan survival agama Islam terus dipelihara terutamanya dalam keadaan negara kita yang semakin diancam dengan pelbagai cara dan keadaan.
HIMPUN yang dianjurkan oleh Himpunan Pertubuhan-pertubuhan Islam di Stadium Shah Alam, Selangor dihadiri oleh hampir sepuluh ribu umat Islam dari pelbagai latar belakang menuntut segala provokasi dan usaha memurtadkan umat Islam dihentikan dengan segera.
Selain itu, HIMPUN juga dianjurkan untuk memberikan kesedaran dan menegaskan bahawa persoalan aqidah perlulah ditangani melalui hujah agama bukan dibiarkan berlarutan menjadi modal politik.

MediaPEMBINA

Wednesday 5 October 2011

PEMBINA Sertai Jawatankuasa Penganjuran HIMPUN


KUALA LUMPUR 25 September 2011 – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) bersetuju terlibat secara langsung dalam penganjuran Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) yang bakal diadakan di Stadium Shah Alam pada 22 Oktober depan. HIMPUN merupakan perhimpunan besar umat Islam di Malaysia anjuran gabungan NGO-NGO Islam untuk menzahirkan kesatuan umat Islam di Malaysia dan menyatakan kesepakatan dalam isu-isu penting dan sensitif yang melibatkan aqidah dan kedaulatan agama Islam di Malaysia, yang kian dicabar.


Menurut Setiausaha Agung PEMBINA, Ust Salman Abdul Rahman yang menyertai mesyuarat jawatankuasa induk penganjuran, “PEMBINA sangat komited untuk mengumpulkan seramai mungkin belia di Malaysia terutamanya di kalangan mahasiswa untuk sama-sama bangkit dan bersatu hati menunjukkan sokongan belia Islam kepada semua usaha untuk mempertahankan kesucian agama Islam.”

Golongan belia merupakan sasaran terbesar perkumpulan ini kerana belia merupakan pewaris dan pemimpin masa depan negara. Oleh itu, belia Muslim harus celik, peka, berilmu, berani dan responsif terhadap isu-isu sensitif yang membabitkan agama agar dapat mematahkan pihak-pihak yang cuba mencabar kedudukan dan keistimewaan agama Islam dalam negara ini ketika ini dan di masa akan datang.

Ust Salman turut menegaskan bahawa mempertahankan kesucian agama Islam di dalam negara berdaulat ini dan mengukuhkan perpaduan umat Islam merupakan kewajipan setiap Muslim. “Oleh kerana itu, kita telah menggerakkan seluruh jentera PEMBINA di seluruh Malaysia di semua peringkat untuk meluaskan promosi HIMPUN ini,” jelas beliau.

Ust Salman turut menerangkan bahawa perhimpunan ini dianjurkan oleh gabungan NGO-NGO Islam tanpa sebarang kecenderungan politik kepartian dan dalam usaha mendapatkan permit serta kebenaran daripada pihak berkuasa. “Belia Islam terutamanya berbangsa Melayu di Malaysia sudah lama jemu dengan pertelingkahan politik di negara ini. Ini adalah suatu peluang untuk belia-belia Islam bangkit menyatakan pendirian tanpa sebarang latar politik kepartian,” tegas Setiausaha Agung PEMBINA itu.

“Bagi saya, bukan sahaja belia Islam, bahkan seluruh umat Islam di Malaysia sebenarnya menanti-nantikan peristiwa seperti ini,” jelas Ust Salman lagi.

Himpunan Sejuta Umat antara lain mempunyai objektif berikut:
a. Untuk menerangkan kedudukan perkara yang sebenarnya tidak seperti yang digembar-gembur melalui media.
b. Mengukur tahap kesatuan dan semangat kekitaan dikalangan orang Islam khasnya terhadap gerak-kerja Kristianisasi termasuk peristiwa 3 Ogos 2011.
c. Memberitahu rakyat perlunya persoalan aqidah ditangani melalui hujah agama bukan dibiarkan berlarutan menjadi modal politik.
d. Menserlahkan Institusi Raja yang menjadi payung Bangsa Melayu dan Islam dalam hal peranan mereka dalam sama-sama menangani isu yang menyentuh sensitiviti orang Melayu Islam di negara ini.
e. Menzahirkan kekuatan aqidah dan keimanan masyarakat Islam sambil memberi amaran tentang bahaya yang akan menimpa negara ini seandainya isu ini terus dieksploitasi.
f. Menyedarkan rakyat tentang wujudnya peruntukkan dalam Perlembagaan dan undang-undang negeri yang tidak mengizinkan mana-mana pihak mengganggu-gugat kesucian Islam serta tindakan mendakwahkan agama selain daripada Islam kepada orang Islam. 

Monday 26 September 2011

Jangan Permainkan Isu Hudud - Ibrahim


BANGI 25 sept 2011 – Persatuan Belia Islam Nasioanal (PEMBINA) mengecam sekeras-kerasnya tindakan sesetengah pihak yang mempertikaikan dan mempermain-mainkan tindakan hudud.
Ibrahim b Mohd Hasan, Timbalan Pesiden PEMBINA berkata, “Hudud merupakan tuntutan dalam agama Islam dan orang bukan Islam perlu menyedari akan hal ini dan menghormati hak-hak orang Islam.” Beliau berkata demikian apabila diminta maklumbalas PEMBINA terhadap karikatur yang tersiar di dalam akhbar The Star bertarikh 25 September yang menghina perlaksanaan hudud.
Ujar beliau, pihak-pihak yang mempertikaikan perlaksanaan hudud seolah-olah tidak menghormati perlembagaan negara yang termaktub bahawa Islam sebagai agama rasmi.
Hudud menjadi isu apabila beberapa pihak mula mempolitikkan isu pelaksanaan hukum tersebut di negara ini, “Hudud ialah isu agama. dan ia tidak perlu dipolitikkan untuk mendapat sokongan mana-mana pihak.
Semua umat Islam perlu beriman bahawa perlaksanaan adalah wajib. Cuma bagaimana dan bila itu perlu diteliti.” jelas beliau lagi.
Melihat kepada realiti kebelakangan ini di mana ada pihak yang mula mempermainkan Islam, Ibrahim menyeru agar ummat Islam bersatu atas dasar akidah dan persaudaraan Islam dalam mempertahankan kedudukan agama dalam negara ini.
“Perpecahan dan perbalahan sesama Islam hanya akan memberi ruang dan kesempatan kepada mereka yang benci kepada Islam untuk mempermainkan Islam. Sekiranya kita tidak bersatu, kita akan terus tunduk kepada tuntutan dan desakan mereka.
http://pembina.com.my/kenyataan-penghinaan-karikatur-the-star-terhadap-hudud

MediaPEMBINA

Wednesday 21 September 2011

PEMBINA Sarawak Raikan Pelajar Baru UNIMAS

17 September 2011, Kuching – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Sarawak sekali lagi telah mengadakan suatu program meraikan pelajar-pelajar baru Ambilan September Universiti Malaysia Sarawak. Seramai 86 orang pelajar baru telah mengambil serta dalam majlis yang berkonsepkan ramah tamah Aidilfitri ini.

Bertempat di Masjid Solahuddin Al-Ayyubi, Kem Penrissen Kuching, program yang berlangsung hampir sehari ini mendapat sambutan yang hangat daripada pelajar-pelajar baru. Selain daripada dapat menjamu hidangan yang pelbagai, para peserta telah disajikan dengan satu slot pengisian yang berbentuk forum yang bertemakan “Belia Islam: Wacana Perkongsian, Belia Kini dan Semalam”.

Para peserta Semai Mesra Aidilfitri
Forum kali ini menampilkan tiga aktivis PEMBINA Sarawak yang telah bergiat aktif dalam aktiviti dakwah dan tarbiyah mahasiswa di UNIMAS. Mereka adalah Saudara Muhammad Abdul Mun’aim bin Mohd Idrus, pelajar Sarjana Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, UNIMAS, Saudari Yuliana binti Ayob, Pegawai Pembedahan Pergigian Hospital Umum Sarawak yang juga merupakan graduan daripada Universiti Malaya (UM) dan juga Saudari Mardhiyyah binti Mohd. Pauzi, Tutor di Pusat Pengajian Pra-Universiti UNIMAS yang juga merupakan graduan daripada Universiti Melbourne, Australia. 


SMAP 2011 meraikan pelajar baru dalam suasana hari raya
Forum yang berkonsepkan perkongsian pengalaman menerima tarbiyah semasa bergelar sebagai seorang pelajar ini dipengerusikan oleh Saudara Muhammad Farisd bin Junos, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Akuatik di UNIMAS. Ramai antara peserta yang kagum apabila mendengar kisah-kisah tarbiyah yang hebat daripada tiga panelis ini.


Forum Belia Islam: Wacana Perkongsian Belia Kini dan Semalam
Selepas solat zuhur, program diteruskan dengan aktiviti dalam kumpulan iaitu Quranic Circle. Para pelajar kelihatan bersemangat untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang bakal dianjurkan oleh PEMBINA Cawangan Sarawak setelah menyaksikan beberapa tayangan video Galeri Tahunan PEMBINA Cawangan Sarawak.
Semoga program yang bermanfaat ini dapat menyemai rasa kepentingan untuk mendalami dan beramal Islami dan menyuburkan ukhuwah Islamiyah dalam kalangan pelajar baru dan aktivis PEMBINA.




Para muslimah mengadakan aktiviti masing-masing

Para muslimin dalam games ukhuwah

LDK Quranic Circle sebagai salah satu pengisian program


Media PEMBINA Cawangan Sarawak

Wednesday 24 August 2011

Beliawanis PEMBINA Sarawak Santuni Muslimah Kolej Perubatan

24 Ogos 2011, Satok-  Beliawanis PEMBINA Sarawak berasa amat berbesar hati apabila dijemput untuk turut sama menjayakan aktiviti qiamullail bersama para pelajar perubatan UNIMAS, anjuran Unit Perwakilan dan Pengurusan Surau Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UNIMAS . Aktiviti ini telah diadakan pada 19 Ogos lalu, bertempat di surau fakulti berhampiran dengan kolej kediaman pelajar. 
 
Aktiviti dimulakan dengan bacaan surah Al-Mulk secara beramai-ramai. Setelah itu, tazkirah pendek tentang adab-adab sebelum tidur disampaikan kepada para peserta. Antara adab yang dikongsikan adalah membaca doa dan mengambil wudu sebelum tidur. Peserta juga dianjurkan untuk tidur mengiring sebelah kanan, sesuai dengan sunnah Rasulullah. Adab-adab ini walaupun tampak ringan dan kecil, ianya masih mampu untuk meraih redha Allah jika diamalkan secara istiqamah dan dengan niat yang ikhlas. 

Pada keesokan harinya, selepas solat subuh dan bacaan ma’tsurat, perkongsian tazkirah bertajuk ‘Malam Seribu Bulan’ dibentangkan kepada para peserta. Tazkirah tersebut dimulai dengan imbasan seerah tentang malam lailatul qadr pertama yang dialami Nabi Muhammad saw. Peserta kemudiannya diceritakan tentang kelebihan malam lailatul qadr berdasarkan dari seerah tersebut sekaligus ciri-ciri individu mukmin yang layak mendapat mendapat malam lailatul qadr. Antara ciri tersebut adalah mukmin yang tidak melakukan maksiat, istiqamah dalam beramal dan mempunyai hati yang bersih suci. Tazkirah tersebut diharapkan membangkitkan lagi semangat peserta untuk mencari malam lailatul qadr pada bulan-bulan Ramadhan yang masih berbaki ini. 

Beliawanis PEMBINA Sarawak mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa surau atas anjuran aktiviti yang sangat bermanfaat ini. Semoga aktiviti seperti ini dapat dijalankan lagi pada Ramadhan yang akan datang.

“Carilah lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan.” – 
Hadis riwayat al-Bukhari

Program Qiyamullail di Kolej Perubatan sempena Penganjuran Fiesta Ibadah 2 oleh  Unit Perwakilan dan Pengurusan Kolej Perubatan UNIMAS.
Media PEMBINA
Cawangan Sarawak

Tuesday 23 August 2011

Seminar Sejarah di KSKB Kuching

14 Ogos 2011, Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Kuching – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dengan kerjasama Persatuan Pelatih Islam KSKB dan Majlis Perwakilan Pelatih KSKB baru-baru ini telah mengadakan seminar ‘Adakah Kau Lupa’. Seramai 51 orang pelatih telah menyertai seminar tentang sejarah yang telah berlansung selama sehari ini. Turut hadir sebagai peserta termasuklah beberapa pengajar jururawat dari Kolej Jururawat Serian.

Seminar ini bertujuan mengajak para peserta untuk menyelami hakikat sejarah Islam bermula dari bertapaknya dakwah Rasulullah di bumi Mekah sehinggalah kejatuhan khalifah yang terakhir. Bertemakan ‘Merungkai Sejarah, Mengorak Langkah’, tiga siri pengisian telah disampaikan oleh penceramah jemputan daripada Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Sarawak dan PEMBINA Cawangan Sarawak.

Slot pertama “Adakah kau Lupa?” yang berkisar tentang kepentingan untuk memahami sejarah dengan hati dan hakikat penciptaan manusia telah disampaikan oleh Saudara Abdul Hafidz bin Yusoff, Naib Yang di-Pertua ISMA Cawangan Sarawak. Slot yang kedua pula, para pelatih diajak menyoroti lembaran-lembaran sejarah dalam “Fahami Sejarah Kita!” yang telah disampaikan oleh setiausaha PEMBINA Cawangan Sarawak yang juga merupakan pelajar tahun akhir kursus kejururawatan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Saudara Mohammed Rasheedan bin Ellin. Pada sebelah petangnya pula, para peserta diberikan ruang untuk berfikir tentang peranan seseorang Muslim dalam membawa agenda agama Islam dalam slot pengisian terakhir “Merungkai Sejarah, Mengorak Langkah!” oleh Biro Kemahiran dan Pembangunan Potensi, Saudara Muhamad Danial bin Salim yang juga merupakan Pelajar Perubatan tahun keempat di UNIMAS.



Peserta Muslimat dalam AKALRace




Fahami sejarah dengan hati
Menurut salah seorang peserta, beliau melahirkan rasa kagum apabila dapat mengetahui yang Islam pada suatu ketika dahulu merupakan sebuah kuasa pemerintahan yang kuat, bukan sahaja berkuasa dari segi penaklukan dan ketenteraan malah dari segi penguasaan ekonomi dan bidang keilmuan.
PEMBINA Cawangan Sarawak amat berbesar hati atas jemputan daripada AJK Pelaksana dan berharap program bermanfaat seperti ini dapat diteruskan untuk memberikan kefahaman dan kesedaran kepada belia Islam tentang sejarah Islam.

Bersama Fasilitator dari Pelajar Perubatan UNIMAS

Penerangan untuk slot LDK

Peserta muslimin dalam AKALRace
"Merungkai Sejarah, Mengorak Langkah!"

Media PEMBINA
Cawangan Sarawak

Tuesday 2 August 2011

PEMBINA Sarawak Terima Kunjungan Presiden PEMBINA

Kota Samarahan, 31 Julai 2011- PEMBINA Sarawak telah menerima kunjungan Saudara Norzafry Norhalim, Presiden PEMBINA Malaysia bertempat di Pejabat ISMA Sarawak.


Majlis Kunjungan ini dipengerusikan oleh Saudara Muhamad Danial Salim yang merupakan Bendahari PEMBINA Sarawak. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan dari Pengerusi PEMBINA Sarawak, Saudara Muhamad Abdul Munaim Idrus. Dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa penghargaan kepada Saudara Zafry kerana sudi meluangkan masa melawat PEMBINA Cawangan Sarawak. Kunjungan ini merupakan kunjungan pertama yang diterima dari PEMBINA Pusat.

Selepas itu, montaj PEMBINA Sarawak ditayangkan, menunjukkan aktiviti-aktiviti PEMBINA Sarawak sepanjang tahun 2011. Majlis diteruskan dengan sesi perkenalan antara Presiden PEMBINA dengan Jawatankuasa PEMBINA Cawangan Sarawak.

Setelah itu, majlis diteruskan dengan taklimat dan penerangan oleh Saudara Zafry berhubung PEMBINA Pusat sepanjang penubuhannya sejak 2007. Dalam taklimatnya, Saudara Zafry turut menekankan tentang aspek-aspek positif yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin iaitu disiplin, professional dan mempunyai daya juang yang tinggi. Antara lain, beliau mengingatkan JKC supaya sentiasa bergerak berlandaskan objektif yang telah ditetapkan. Taklimat beliau diakhiri dengan penerangan berkaitan dengan Key Performance Index (KPI) yang telah digariskan oleh PEMBINA Pusat untuk difahami dan seterusnya dilaksanakan oleh setiap PEMBINA Cawangan.

JKC PEMBINA Sarawak mengucapkan ribuaan terima kasih buat Saudara Zafry atas kunjungan beliau. Semoga dengan kunjungan ini, JKC dapat menggalas tanggungjawab yang diberikan dengan baik, sekaligus dapat menjayakan visi dan misi PEMBINA.


Monday 18 July 2011

"Peraduan Oasis Ramadhan"

PEMBINA Sarawak dengan sukacitanya mengajak anda untuk menyertai Peraduan Oasis Ramadhan sebagai salah satu cara untuk menyemarakkan semangat untuk menyambut bulan Ramadhan.

Boleh hubungi Saudara Rasheedan (0135414145) dan Saudari Mardhiah (0138460930) untuk maklumat lanjut. Ayuh!

Monday 11 July 2011

Senamrobik Muslimah– 'Badan Cergas, Otak Cerdas’

Kota Samarahan, 10 Julai – Buat julung kalinya, Beliawanis PEMBINA Sarawak dengan kerjasama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Sarawak, telah menganjurkan program senamrobik yang bertempat di Pejabat ISMA, Kota Samarahan yang bermula seawal jam 7.45 pagi. Seramai 36 orang peserta dan AJK telah menjayakan program tersebut yang terdiri daripada pelajar-pelajar UNIMAS dan UiTM Kota Samarahan.

Senamrobik kali ini yang bertemakan ‘Badan Cergas, Otak Cerdas’ telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para peserta. Ramai peserta sudah berjalan seawal jam 7 pagi daripada Kolej Seroja ke Pejabat ISMA dan ada juga yang berkumpul dahulu di Masjid UNIMAS untuk berjalan bersama-sama dengan sahabat yang lain.

Program ini bertujuan untuk melahirkan individu yang cergas dari segi jasmani dan kesihatan. Seorang pelajar yang cemerlang haruslah mempunyai tubuh badan yang sihat. Bak kata pepatah, otak yang cerdas lahir dari badan yang cergas. Selain itu, seorang pelajar muslim juga perlu menitik beratkan kesihatan fizikal kerana ianya merupakan salah satu daripada ciri-ciri Muwasafat Tarbiyah iaitu Qawiyyul Jismi.

Di samping itu juga, program ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara para pelajar universiti di sekitar Kota Samarahan dan juga menguatkan lagi ikatan hati antara sesama mereka.
Kesimpulannya, program ini mendapat sambutan yang sangat baik dari kalangan peserta. Program seperti ini diharapkan dapat diadakan lagi pada masa akan datang.

Unit Media PEMBINA Cawangan Sarawak

'Badan Cergas, Otak Cerdas'











Sunday 10 July 2011

Mabit dan Riadah - Pemantapan Rohani dan Jasmani

KOTA SAMARAHAN 10 Julai 2011 - Mabit dan Riadah yang dianjurkan oleh ISMA Sarawak dan PEMBINA Sarawak sekali lagi telah mendapat penyertaan yang amat menggalakkan.

Aktiviti dimulakan dengan para peserta berkumpul di Masjid UNIMAS seawal jam 10 malam. Turut hadir bersama ialah YDP ISMA Cawangan Sarawak, Dr. Mohd Khairol bin Jambli.

Aktiviti pada sebelah malam dimulakan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Dr. Khairol. Pada sebelah dinihari pula, qiamullail secara berjemaah telah diadakan seawal 4.45 pagi. Dalam penganjuran program ini, para peserta bukan sahaja dididik untuk memerhati kesihatan jasmani sahaja bahkan yang paling penting kesihatan rohani.

Selepas selesai solat Subuh berjemaah, para peserta sekali lagi dihidangkan dengan kuliah tafsir Surah al-Munafiqun yang disampaikan oleh al-fadhil Ustaz Ahmad Fauzee Abdul Rahman.

Para peserta seterusnya bergerak ke Golden Hawk Sport Center, Kota Samarahan untuk berentap dalam liga futsal. Sebanyak empat pasukan telah beraksi, iaitu Go Green, UiTM Gabungan, Red Mujahid, dan Asasi FC.

Program ini telah dihadiri lebih kurang 50 orang termasuk pelajar-pelajar Asasi Sains di Pusat Pengajian Pra-Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Samarahan dan beberapa aktivis PEMBINA.

Sebagai penutupan,  sedikit tazkirah berkenaan kesyumulan konsep ibadah dalam Islam telah disampaikan oleh Saudara Ahmad Hisyam Sabrani sekaligus mengakhiri liga tersebut yang telah dimenangi oleh UiTM Gabungan.

Media PEMBINA Sarawak


Red Mujahid

Asasi FC

Beraksi

Sebahagian pemain dari UiTM Gabungan

Berehat sementara menunggu giliran bermain

Saturday 9 July 2011

PEMBINA Bersama Belia Membangun Jatidiri


Ucapan dasar oleh Timbalan Presiden PEMBINA, Saudara Ibrahim Mohd Hasan

BANGI 2 Julai – “Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) serius dan fokus dalam membangunkan jatidiri belia Islam di negara ini.” jelas Saudara Ibrahim Mohd Hassan, Timbalan Presiden PEMBINA di sini dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) PEMBINA. Saudara Ibrahim telah mewakili Presiden PEMBINA, Norzafry Norhalim, bagi menyampaikan ucapan dasar Presiden bertajuk “Bersama Belia Membangun Jatidiri”.

Saudara Ibrahim yang ditemui media PEMBINA berkata, “PEMBINA menggunakan slogan EGM ‘Bersama Belia Membangun Jatidiri’ supaya setiap ahli dan belia secara amnya memahami dengan jelas misi dan visi PEMBINA”. Ucapan dasar Presiden PEMBINA telah menggariskan kepentingan PEMBINA untuk menjadi pertubuhan yang lebih inklusif, dinamik dan mesra belia dalam menempatkan PEMBINA dalam arus perdana. PEMBINA menyatakan komitmennya untuk bersama segenap lapisan belia untuk membangunkan potensi dan jatidiri belia agar menjadi golongan yang benar-benar bermanfaat kepada masyarakat.

Mesyuarat Agung Luar Biasa yang diadakan di Kompleks PKNS Bangi dihadiri hampir 100 orang dari seluruh negara dan berlangsung dengan suasana harmoni.

Media PEMBINA
Wartawan : Azril Hanafi
Jurugambar : Nazmie Razak , Hakeem Adzman

Thursday 7 July 2011

Pemuda Hebat, Berita Hebat - Dr. Kamsani



BANGI 2 Julai 2011 – Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) PEMBINA 2011 telah disempurnakan Dr. Ahmad Kamsani Samingan, Penasihat PEMBINA yang juga merupakan mantan Timbalan Presiden PEMBINA.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa belia mempunyai peranan dan fungsi besar dalam peradaban manusia. Keupayaan belia telah terbukti mampu mengubah dan membentuk lanskap dunia sepanjang sejarah.
Dr. Kamsani turut menjelaskan bahawa belia yang hebat merupakan satu berita yang hebat buat dunia. Al-Quran sendiri menggunakan kalimah “Naba’” sebagai berita hebat bagi menceritakan kisah pemuda Kahfi yang hebat sebagaimana Al-Quran mengguna kalimah “Naba’” untuk peristiwa-peristiwa penting lain.
Penasihat PEMBINA itu turut mengajak para ahli PEMBINA memperkasakan diri dengan menggauli pelbagai lapisan masyarakat dan menambah ilmu pengetahuan bagi menghadapi dunia globalisasi yang kian mencabar.
EGM PEMBINA 2011 ini berlangsung di Kompleks PKNS Bangi dan dihadiri lebih 100 perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara.
Cawangan Sarawak telah diwakili oleh Ketua Cawangan, Saudara Muhd Abdul Mun'aim bin Mohd Idrus, Setiausaha Mohammed Rasheedan bin Ellin, JK Media dan Promosi Muhammad Adib bin Abdullah dan seorang ahli PEMBINA Sarawak, Muhammad Farisd bin Junos.
www.pembina.com.my

Popular Posts