Wednesday 24 August 2011

Beliawanis PEMBINA Sarawak Santuni Muslimah Kolej Perubatan

24 Ogos 2011, Satok-  Beliawanis PEMBINA Sarawak berasa amat berbesar hati apabila dijemput untuk turut sama menjayakan aktiviti qiamullail bersama para pelajar perubatan UNIMAS, anjuran Unit Perwakilan dan Pengurusan Surau Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UNIMAS . Aktiviti ini telah diadakan pada 19 Ogos lalu, bertempat di surau fakulti berhampiran dengan kolej kediaman pelajar. 
 
Aktiviti dimulakan dengan bacaan surah Al-Mulk secara beramai-ramai. Setelah itu, tazkirah pendek tentang adab-adab sebelum tidur disampaikan kepada para peserta. Antara adab yang dikongsikan adalah membaca doa dan mengambil wudu sebelum tidur. Peserta juga dianjurkan untuk tidur mengiring sebelah kanan, sesuai dengan sunnah Rasulullah. Adab-adab ini walaupun tampak ringan dan kecil, ianya masih mampu untuk meraih redha Allah jika diamalkan secara istiqamah dan dengan niat yang ikhlas. 

Pada keesokan harinya, selepas solat subuh dan bacaan ma’tsurat, perkongsian tazkirah bertajuk ‘Malam Seribu Bulan’ dibentangkan kepada para peserta. Tazkirah tersebut dimulai dengan imbasan seerah tentang malam lailatul qadr pertama yang dialami Nabi Muhammad saw. Peserta kemudiannya diceritakan tentang kelebihan malam lailatul qadr berdasarkan dari seerah tersebut sekaligus ciri-ciri individu mukmin yang layak mendapat mendapat malam lailatul qadr. Antara ciri tersebut adalah mukmin yang tidak melakukan maksiat, istiqamah dalam beramal dan mempunyai hati yang bersih suci. Tazkirah tersebut diharapkan membangkitkan lagi semangat peserta untuk mencari malam lailatul qadr pada bulan-bulan Ramadhan yang masih berbaki ini. 

Beliawanis PEMBINA Sarawak mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa surau atas anjuran aktiviti yang sangat bermanfaat ini. Semoga aktiviti seperti ini dapat dijalankan lagi pada Ramadhan yang akan datang.

“Carilah lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan.” – 
Hadis riwayat al-Bukhari

Program Qiyamullail di Kolej Perubatan sempena Penganjuran Fiesta Ibadah 2 oleh  Unit Perwakilan dan Pengurusan Kolej Perubatan UNIMAS.
Media PEMBINA
Cawangan Sarawak

No comments:

Post a Comment

Popular Posts