Wednesday 5 October 2011

PEMBINA Sertai Jawatankuasa Penganjuran HIMPUN


KUALA LUMPUR 25 September 2011 – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) bersetuju terlibat secara langsung dalam penganjuran Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) yang bakal diadakan di Stadium Shah Alam pada 22 Oktober depan. HIMPUN merupakan perhimpunan besar umat Islam di Malaysia anjuran gabungan NGO-NGO Islam untuk menzahirkan kesatuan umat Islam di Malaysia dan menyatakan kesepakatan dalam isu-isu penting dan sensitif yang melibatkan aqidah dan kedaulatan agama Islam di Malaysia, yang kian dicabar.


Menurut Setiausaha Agung PEMBINA, Ust Salman Abdul Rahman yang menyertai mesyuarat jawatankuasa induk penganjuran, “PEMBINA sangat komited untuk mengumpulkan seramai mungkin belia di Malaysia terutamanya di kalangan mahasiswa untuk sama-sama bangkit dan bersatu hati menunjukkan sokongan belia Islam kepada semua usaha untuk mempertahankan kesucian agama Islam.”

Golongan belia merupakan sasaran terbesar perkumpulan ini kerana belia merupakan pewaris dan pemimpin masa depan negara. Oleh itu, belia Muslim harus celik, peka, berilmu, berani dan responsif terhadap isu-isu sensitif yang membabitkan agama agar dapat mematahkan pihak-pihak yang cuba mencabar kedudukan dan keistimewaan agama Islam dalam negara ini ketika ini dan di masa akan datang.

Ust Salman turut menegaskan bahawa mempertahankan kesucian agama Islam di dalam negara berdaulat ini dan mengukuhkan perpaduan umat Islam merupakan kewajipan setiap Muslim. “Oleh kerana itu, kita telah menggerakkan seluruh jentera PEMBINA di seluruh Malaysia di semua peringkat untuk meluaskan promosi HIMPUN ini,” jelas beliau.

Ust Salman turut menerangkan bahawa perhimpunan ini dianjurkan oleh gabungan NGO-NGO Islam tanpa sebarang kecenderungan politik kepartian dan dalam usaha mendapatkan permit serta kebenaran daripada pihak berkuasa. “Belia Islam terutamanya berbangsa Melayu di Malaysia sudah lama jemu dengan pertelingkahan politik di negara ini. Ini adalah suatu peluang untuk belia-belia Islam bangkit menyatakan pendirian tanpa sebarang latar politik kepartian,” tegas Setiausaha Agung PEMBINA itu.

“Bagi saya, bukan sahaja belia Islam, bahkan seluruh umat Islam di Malaysia sebenarnya menanti-nantikan peristiwa seperti ini,” jelas Ust Salman lagi.

Himpunan Sejuta Umat antara lain mempunyai objektif berikut:
a. Untuk menerangkan kedudukan perkara yang sebenarnya tidak seperti yang digembar-gembur melalui media.
b. Mengukur tahap kesatuan dan semangat kekitaan dikalangan orang Islam khasnya terhadap gerak-kerja Kristianisasi termasuk peristiwa 3 Ogos 2011.
c. Memberitahu rakyat perlunya persoalan aqidah ditangani melalui hujah agama bukan dibiarkan berlarutan menjadi modal politik.
d. Menserlahkan Institusi Raja yang menjadi payung Bangsa Melayu dan Islam dalam hal peranan mereka dalam sama-sama menangani isu yang menyentuh sensitiviti orang Melayu Islam di negara ini.
e. Menzahirkan kekuatan aqidah dan keimanan masyarakat Islam sambil memberi amaran tentang bahaya yang akan menimpa negara ini seandainya isu ini terus dieksploitasi.
f. Menyedarkan rakyat tentang wujudnya peruntukkan dalam Perlembagaan dan undang-undang negeri yang tidak mengizinkan mana-mana pihak mengganggu-gugat kesucian Islam serta tindakan mendakwahkan agama selain daripada Islam kepada orang Islam. 

No comments:

Post a Comment

Popular Posts