Kalam JKP


Selamat Menyambut Bulan Ramadhan al-Mubarak kepada Seluruh Belia Islam
Segala puji bagi Allah di atas segala nikmat dan kebesaranNya yang telah memberikan kita peluang untuk bertemu dengan tetamu agung yang mengunjungi kita umat Islam saban tahun. Ia merupakan salah satu kurniaan terbesar Allah SWT untuk hamba-hambaNya, selepas nikmat iman dan Islam.
Bulan diturunkan Al-Quran
Firman Allah di dalam surah Al-Baqarah, ayat 185, selepas ayat kefardhuan puasa ke atas umat Islam, telah meletakkan bulan Ramadhan pada suatu kedudukan yang sangat istimewa, kerana di dalamnya diturunkan Al-Quran yang menjadi pedoman dan cahaya menerangi seluruh alam, cahayanya lebih terang dari cahaya matahari. Kerana itulah, walaupun matahari terang memancar, manusia di Semenanjung Tanah Arab melalui zaman yang penuh kegelapan sebelum datangnya Muhammad SAW dan Al-Quran. Bahkan, Eropah yang suatu ketika dahulu hidup dalam penuh kegelapan menjadi terang selepas kebudayaan Al-Quran masuk ke wilayah mereka melalu pembukaan kota Andalusia.
Imam Rashid Ridha mengungkapkan, “Di antara hikmah difardhukan berpuasa di dalam bulan ini adalah kerana di dalamnya diturunkan Al-Quran. Dilimpahkan hidayah dan petunjuk dari Yang Maha pemurah ke atas seluruh umat manusia dengan perutusan Nabi Muhammad SAW. Suatu perutusan kepada seluruh alam, yang kekal hingga ke akhir zaman.”[1]
Bulan dibuka pintu syurga, ditutup pintu neraka dan dibelenggu syaitan
Di dalam bulan Ramadhan, orang-orang yang di dalam jiwanya ada sinaran iman, akan dapat merasai haruman-haruman syurga merebak ke mana-mana sahaja ia pergi kerana dipenuhi dengan amalan-amalan kebaikan oleh orang-orang yang berpuasa.
Di dalam suatu hadis, daripada Abu Hurairah RA berkata, bahawa Nabi Muhammad SAW telah bersabda, “Apabila datangnya bulan Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka, dan dibelenggu syaitan-syaitan.” [Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim]
Imam Fudhayl bin ‘Iyadh di dalam ulasannya mengatakan bahawa, ada pendapat yang mengatakan hadis ini membawa makna yang zahir di mana pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup, menandakan kebesaran bulan Ramadhan. Begitu juga syaitan-syaitan dibelenggu, agar mereka tidak dapat mengganggu orang-orang Islam yang berpuasa.
Berpuasa di siang hari dan qiam di malam hari menghapuskan dosa
Di dalam sepotong hadis, Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan merebut ganjaran, diampunkan dosa-dosanya yang lampau.” [Hadith Riwayat Bukhari & Muslim]
Di dalam sepotong hadis yang lain pula, Rasulullah SAW bersabda, “ Barangsiapa yang bangun solat di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan merebut ganjaran, diampunkan dosa-dosanya yang lampau.” [Hadith Riwayat Bukhari & Muslim]
Berpuasa di siang hari dan bangun solat qiam di malam hari dengan penuh keimanan dan merebut ganjaran pahala yang ditawarkan oleh Allah swt selama sebulan merupakan sebaik-baik amalan yang dituntut sepanjang bulan Ramadhan.
Malam al-Qadr lebih baik dari seribu bulan
Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Qadr :
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran pada malam Al-Qadr. Dan tahukah kamu (wahai Muhammad) apakah malam kemuliaan (al-Qadr) itu? Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. Padanya para Malaikat dan Ar-Ruh (Jibril) turun dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur semua urusan yang telah diperintahkan. Sejahteralah malam itu sehingga terbitnya fajar.”
Beruntunglah bagi hamba-hamba yang berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan perancangan yang rapi dan pelaksanaan yang teliti untuk mendapatkan malam Al-Qadr.

Bulan dimakbulkan doa dan dibebaskan dari belenggu neraka
Di dalam sepotong hadis, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda, “Sesungguhnya Allah SWT membebaskan hamba-hambaNya dari belenggu api neraka, dan bagi setiap seorang hamba diberikan peluang doa yang dimakbulkan.” [Hadith riwayat Ahmad & Ibnu Majah]

Belia sangat bertuah
Sebagai golongan belia yang masih kuat, sihat tubuh badan, cergas dan cerdas, maka belialah golongan yang paling bertuah untuk menerima peluang dan tawaran Allah di dalam bulan Ramadhan yang penuh barakah ini.
Marilah sama-sama kita memanfaatkan kesempatan yang ada tika ini untuk bersama-sama meningkatkan kualiti amal ibadah dan jatidiri sebagai seorang Muslim yang baik terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.
Bulan Ramadhan bukanlah bulan untuk berehat-rehat dan bersantai. Walaupun di dalam keadaan yang lapar dan dahaga, Nabi Muhammad SAW beserta para sahabat Baginda telah membuktikan bahawa bulan Ramadhan adalah bulan yang paling berkualiti di dalam hidup mereka. Jika kita menuruti sejarah perjuangan Baginda, kemenangan di dalam Perang Badar berlaku di dalam bulan Ramadhan. Persediaan menghadapi Perang Uhud dilakukan bersungguh-sungguh di dalam bulan Ramadhan yang akhirnya memberikan kemenangan kepada tentera Islam di dalam bulan Syawal. Begitu juga siri-siri perjuangan dan jihad yang lain kebanyakannya berlaku di dalam bulan Ramadhan.

Semoga amal diterima Allah
Sebagaimana ditunjukkan di dalam ayat kefardhuan puasa di bulan Ramadhan, maqsud utama yang ingin dicapai adalah supaya kita dapat menanamkan ketaqwaan di dalam diri kita. Di dalam meniti kehidupan belia yang penuh cabaran dan ujian yang maha hebat, apatah lagi di zaman era globalisasi dunia tanpa sempadan, hanya dengan taqwalah kita dapat menjadi generasi yang mampu menyelamatkan umat Islam dari terus dihina dan dipermainkan musuh Islam. Dan bulan Ramadhan yang dianugerahkan Allah inilah merupakan sumber untuk kita menjana ketaqwaan diri.
Ayuh belia Islam! Marilah bersama-sama kita mempersiapkan diri kita, merancang aktiviti, melaksanakan perancangan dengan penuh tekun, bersungguh-sungguh dan penuh kesabaran. Bersama seluruh belia, kita bangun jatidiri Islam.

Salman Abdul RahmanSetiausaha Agung
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)


Memperkasakan Jatidiri Beliawanis
Jatidiri yang ingin dibentuk dalam diri seorang beliawanis merupakan sebuah keperibadian syumul yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan diri sendiri dan orang lain. Jatidiri yang ideal tidak terletak kepada fizikal semata-mata tetapi merangkumi kepimpinan, kemahiran yang seimbang dan kestabilan emosi dan kekuatan spiritual.
Kepimpinan adalah kemahiran asas yang harus diasah oleh seseorang beliawanis. Ini kerana, hanya dengan mempunyai kepimpinan yang baik, maka seseorang itu dapat mengawal atur persekitarannya dan dapat mempengaruhi orang lain untuk meyakini agenda perjuangannya. Jika melihat pada situasi semasa dalam PEMBINA sendiri, 46% daripada 190 orang kepimpinan cawangan di seluruh negara adalah dari kalangan beliawanis. Ini menjadi indikasi bahawa kepimpinan dan ketokohan beliawanis amat ditekankan dalam PEMBINA dan telah berada di tahap yang membanggakan. Ini juga membuktikan bahawa pendapat-pendapat beliawanis boleh digunapakai dalam penggubalan polisi organisasi. Kualiti sebegini perlu digilap agar kepimpinan beliawanis akan terus terbentuk dari semasa ke semasa.
Dalam menjalani kehidupan yang penuh cabaran, seorang beliawanis harus melengkapkan dirinya dengan pelbagai kemahiran agar dia mecapai keseimbangan dalam hidup. Antara contoh kemahiran yang perlu dipelajari adalah kemahiran memasak, menguruskan kediaman, mengandam diri, menyelenggara kenderaan, menggunakan gajet-gajet telekomunikasi, ICT, bersukan, kesenian, kemahiran mengatur waktu dan pelbagai lagi skil dan kemahiran hidup semasa yang mampu dan perlu dikuasai beliawanis. Dengan adanya kemahiran-kemahiran ini, akan terbentuklah seorang beliawanis yang serba boleh, seimbang dan mampu berperanan lebih dalam masyarakat.
Jatidiri seorang beliawanis tidak lengkap tanpa mempunyai kebolehan menguruskan emosi. John Gray dalam bukunya yang bertajuk Men are From Mars and Women are From Venus berkata bahawa, sekiranya seseorang wanita itu menghadapi masalah dan tekanan, dia perlu meluahkannya dalam bentuk percakapan melalui orang-orang di sekelilingnya atau dalam bentuk penulisan melalui blog dan sebagainya. Berbeza dengan orang lelaki yang apabila menemui masalah, dia akan cuba menyelesaikannya dengan bersendirian menonton bola, membaca akhbar ataupun bersukan untuk mendapatkan ilham. Oleh itu, bagi mengaplikasikan cadangan yang dikemukakan oleh John Gray ini, seorang beliawanis perlu belajar untuk membina rangkaian persahabatan agar ia dapat dijadikan platform saluran tekanan dan luahan perasaan. Dia juga perlu mengenalpasti kelemahan dirinya, memahami psychologi asasi wanita, bersiap dan berusaha menguatkan diri dan berani menghadapi risiko dalam situasi yang menekan perasaan.
Kekuatan spiritual juga berkait dengan keseimbangan dan kestabilan hidup beliawanis. Beliawanis yang kuat spiritualnya dan hubungannya dengan Allah akan mampu melangkah hidup dengan lebih yakin, memahami sunnah alam tetapi amat bergantung harap kepada Allah. Sumber kekuatan diri yang utama adalah dari Tuhan, maka di sanalah motivasi dan sumber rangsangan utama yang perlu dirujuk untuk beliawanis mencari ilham, inspirasi dan kekuatan dalaman diri. Adapun sifat semulajadi wanita mungkin membataskan amal ibadat pada ketika tertentu, namun hubungan ruh, hati, keikhlasan dan keimanan menjadi keutamaan yang perlu dipelihara dan dipertingkat sentiasa.
Oleh itu, menjadi sebuah harapan untuk melihat kualiti-kualiti ini digarap oleh para beliawanis agar pembinaan jatidiri yang menyeluruh dapat dilaksanakan dan seterusnya di perkasakan. Beliawanis harus menyedari akan potensi yang dikurniakan kepada mereka amat besar dan tak terbatas kepada kerja-kerja tradisi wanita.  Sesungguhnya, kaum pemudi mampu berperanan sama hebat dengan pemuda dalam berbakti kepada masyarakat dan membangunkan negara.
Nor Hasni Hayati bt. Hanapi
Naib Presiden II
Ketua Beliawanis PEMBINA

Popular Posts