Tuesday 25 October 2011

Gunakan segala kemudahan martabatkan Islam - Norzafry




SHAH ALAM 22 Oktober – Dengan pelbagai kemudahan dan teknologi terkini, belia mestilah menggunakan peluang yang sedia ada ini untuk memartabatkan Islam.
Jelas Norzafry Norhalim sebagai Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), setiap belia berpotensi untuk menggarap setiap prasarana yang ada seperti laman Facebook, Twitter, e-mail, SMS dan sebagainya untuk menyebarkan Islam.
Belia juga haruslah kreatif dan inovatif dalam menyampaikan mesej dan keindahan Islam disamping memperkasa pelbagai ilmu serta kemahiran teknologi, tambah beliau lagi dalam pidato di Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN).
Dalam pidato beliau yang sarat dengan mesej mengharapkan belia memartabatkan ketua atau pemimpin negara yang menjadikan Islam sebagai agenda utama.
Ini adalah penting dalam memastikan survival agama Islam terus dipelihara terutamanya dalam keadaan negara kita yang semakin diancam dengan pelbagai cara dan keadaan.
HIMPUN yang dianjurkan oleh Himpunan Pertubuhan-pertubuhan Islam di Stadium Shah Alam, Selangor dihadiri oleh hampir sepuluh ribu umat Islam dari pelbagai latar belakang menuntut segala provokasi dan usaha memurtadkan umat Islam dihentikan dengan segera.
Selain itu, HIMPUN juga dianjurkan untuk memberikan kesedaran dan menegaskan bahawa persoalan aqidah perlulah ditangani melalui hujah agama bukan dibiarkan berlarutan menjadi modal politik.

MediaPEMBINA

Wednesday 5 October 2011

PEMBINA Sertai Jawatankuasa Penganjuran HIMPUN


KUALA LUMPUR 25 September 2011 – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) bersetuju terlibat secara langsung dalam penganjuran Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) yang bakal diadakan di Stadium Shah Alam pada 22 Oktober depan. HIMPUN merupakan perhimpunan besar umat Islam di Malaysia anjuran gabungan NGO-NGO Islam untuk menzahirkan kesatuan umat Islam di Malaysia dan menyatakan kesepakatan dalam isu-isu penting dan sensitif yang melibatkan aqidah dan kedaulatan agama Islam di Malaysia, yang kian dicabar.


Menurut Setiausaha Agung PEMBINA, Ust Salman Abdul Rahman yang menyertai mesyuarat jawatankuasa induk penganjuran, “PEMBINA sangat komited untuk mengumpulkan seramai mungkin belia di Malaysia terutamanya di kalangan mahasiswa untuk sama-sama bangkit dan bersatu hati menunjukkan sokongan belia Islam kepada semua usaha untuk mempertahankan kesucian agama Islam.”

Golongan belia merupakan sasaran terbesar perkumpulan ini kerana belia merupakan pewaris dan pemimpin masa depan negara. Oleh itu, belia Muslim harus celik, peka, berilmu, berani dan responsif terhadap isu-isu sensitif yang membabitkan agama agar dapat mematahkan pihak-pihak yang cuba mencabar kedudukan dan keistimewaan agama Islam dalam negara ini ketika ini dan di masa akan datang.

Ust Salman turut menegaskan bahawa mempertahankan kesucian agama Islam di dalam negara berdaulat ini dan mengukuhkan perpaduan umat Islam merupakan kewajipan setiap Muslim. “Oleh kerana itu, kita telah menggerakkan seluruh jentera PEMBINA di seluruh Malaysia di semua peringkat untuk meluaskan promosi HIMPUN ini,” jelas beliau.

Ust Salman turut menerangkan bahawa perhimpunan ini dianjurkan oleh gabungan NGO-NGO Islam tanpa sebarang kecenderungan politik kepartian dan dalam usaha mendapatkan permit serta kebenaran daripada pihak berkuasa. “Belia Islam terutamanya berbangsa Melayu di Malaysia sudah lama jemu dengan pertelingkahan politik di negara ini. Ini adalah suatu peluang untuk belia-belia Islam bangkit menyatakan pendirian tanpa sebarang latar politik kepartian,” tegas Setiausaha Agung PEMBINA itu.

“Bagi saya, bukan sahaja belia Islam, bahkan seluruh umat Islam di Malaysia sebenarnya menanti-nantikan peristiwa seperti ini,” jelas Ust Salman lagi.

Himpunan Sejuta Umat antara lain mempunyai objektif berikut:
a. Untuk menerangkan kedudukan perkara yang sebenarnya tidak seperti yang digembar-gembur melalui media.
b. Mengukur tahap kesatuan dan semangat kekitaan dikalangan orang Islam khasnya terhadap gerak-kerja Kristianisasi termasuk peristiwa 3 Ogos 2011.
c. Memberitahu rakyat perlunya persoalan aqidah ditangani melalui hujah agama bukan dibiarkan berlarutan menjadi modal politik.
d. Menserlahkan Institusi Raja yang menjadi payung Bangsa Melayu dan Islam dalam hal peranan mereka dalam sama-sama menangani isu yang menyentuh sensitiviti orang Melayu Islam di negara ini.
e. Menzahirkan kekuatan aqidah dan keimanan masyarakat Islam sambil memberi amaran tentang bahaya yang akan menimpa negara ini seandainya isu ini terus dieksploitasi.
f. Menyedarkan rakyat tentang wujudnya peruntukkan dalam Perlembagaan dan undang-undang negeri yang tidak mengizinkan mana-mana pihak mengganggu-gugat kesucian Islam serta tindakan mendakwahkan agama selain daripada Islam kepada orang Islam. 

Popular Posts